Asalamualaikum dan selamat sejahtera ;) Buat pertama kali saya mencipta sebuah blog buat perkongsian ilmu yang cukup penting di dalam dunia pengajaran. Blog ini bertajuk kaedah atau teknik meningkatkan kemahiran belajar murid bagi membantunya mengikuti mata pelajaran tersebut dengan berkesan.

Blog ini juga bukan dibuat secara sukarela namun ia dibuat demi memenuhi kerja kursus yang telah diberikan oleh saya (termenung kesedihan sambil memikirkan kerja kursus yang berlambak). Sebenarnya boleh sahaja saya nak lukis tugasan ini sebab kasihan akan anda untuk membacanya ketika waktu malam. Namun saya gagahkan diri untuk menaip blog ini. Ok baik kita masuk semula tajuk sebab dah terpesong jauh. 

Kaedah yang boleh digunakan untuk meningkatkan kemahiran belajar murid ialah dengan menggunakan teknologi di dalam proses pembelajaran.



PENGGUNAAN TEKNOLOGI
 

Sudah semestinya pelajar abad ini umumnya mempunyai alat teknologi di rumah seperti gadjet dan televisyen. Namun jika di sekolah, kita boleh menggunakan pengajaran berasaskan komputer. Kaedah pengajaran ini lebih berpusatkan murid dimana murid dapat melaksanakan sendiri perbincangan, pembelajaran menggunakan aplikasi internet iaitu laman sosial yang menjadi penghubung antara murid untuk berinteraksi sesama mereka (Zaidatol Akmaliah & Foo, 2003). 

Sebagai langkah melaksanakan suasana pembelajaran yang menarik, penggunaan teknologi amat diperlukan sebagai alat bantu mengajar.



Dengan penggunaan teknologi di dalam pembelajaran, murid dapat meneroka dengan lebih meluas terhadap ilmu yang ingin diterokai dengan pantas tanpa sekatan. Kesannya, murid lebih cepat mengenali sesuatu ilmu walaupun tanpa bimbingan orang lain. 

Di samping itu, memaparkan bahan mengajar ke LCD daripada komputer bukan hanya memudahkan proses mengajar, malah meningkatkan tumpuan murid kerana mereka sangat mudah terpengaruh dengan bahan teknologi.

Keseronokkan dalam aktiviti pembelajaran akan mampu meningkatkan motivasi kepada murid di sekolah untuk terus mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran. Inovasi dalam teknologi pendidikan akan merangsang murid untuk belajar dengan lebih baik.




Tambahan, beban tugasan bagi murid sedikit berkurangan kerana lebih melibatkan diri dengan aktiviti menaip, mendengar dan melihat paparan skrin berbanding perlu menulis yang mengambil masa yang sedikit lama. Jika dilihat melalui sudut pandangan realiti, murid sukar memberikan tumpuan dan minat dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah terutamanya pengajaran yang melibatkan kaedah berpusatkan guru semata-mata (Norazura, et.al, 2010).
     
Murid secara langsung mampu berkomunikasi hingga ke peringkat global sama ada secara dua hala atau lebih. Penggunaan unsur ICT seperti audio, video, grafik dan animasi mampu meningkatkan tahap kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah, seterusnya membuat keputusan. 

Melalui penggunaan teknologi juga, setiap masalah yang timbul dapat segera diketahui oleh guru kerana murid mudah bertindak balas terhadap sistem yang diajar menggunakan ICT.



Penggunaan laman web merupakan salah satu kaedah untuk melibatkan murid secara aktif. Murid boleh memperolehi maklumat dengan penggunaan laman web ini khasnya untuk tujuan pembelajaran seperti melalui kuiz, nota tambahan dan perbincangan. Murid akan lebih jelas tentang sesuatu konsep yang disampaikan oleh guru kerana penggunaan media yang jelas.  

Minat serta pencapaian murid meningkat hasil daripada pembelajaran menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK). 

Dengan menjadikan teknologi sebagai pemudah cara bagi guru menyampaikan ilmu pengetahuan kepada murid yang terdiri daripada generasi Z mampu membuka ruang dan peluang untuk membudayakan pemikiran aras tinggi (KBAT). 

 



Bagi penutup untuk blog ini, dapatlah saya menyatakan bahawa penggunaan TMK mampu meningkatkan pengetahuan dalam menyumbang keberkesanan dalam kemahiran belajar murid.

Murid seharusnya menggunakan teknologi yang telah diberikan dengan sebaiknya ke arah pendidikan sepanjang masa.


Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kehadiran teknologi mampu mengubah kemahiran berfikir murid ke arah yang lebih baik dan luar biasa. Kreativiti mampu dijanakan dengan begitu pantas kerana murid sudah biasa melihat di luar pengetahuan mereka dari sumber teknologi. Hal ini akan turut menyumbang idea bagi mencipta sebuah inovasi produk pada masa akan datang. Maka dengan ini, bersinarlah harapan untuk melihat teknologi luar biasa di masa akan datang yang bakal dicipta oleh anak muda masa kini.   

Diharapkan semoga penggunaan teknologi dalam bidang pendidikan akan menjadi satu alat untuk meningkatkan gaya pemikiran murid di sekolah secara positif.

Terima kasih kerana sudi membaca dan manfaatkan teknologi yang ada dengan baik :)



Comments

Popular posts from this blog

Cara Mudah Membina Rangka Karangan SPM